Berharap Akan Dapat Dikekalkan

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman (KDA FC) bangga di atas sumbangan pemain tengah, Rabih Ataya yang membantu negaranya, Lubnan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2022 yang berlangsung di Dubai.

Pemain tengah berusia 31 tahun itu turut menyumbangkan satu gol ketika menentang Tajikistan, 9 Jun lalu selain beberapa aksi bantuan jaringan ketika menentang Sri Lanka.

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berharap, sumbangan gol dan prestasi terbaik Ataya dapat dikekalkan apabila skuad Hijau Kuning kembali beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M), bulan depan.

“Sudah pasti ini satu perkembangan yang bagus untuk Ataya yang menunjukkan aksi terbaiknya bersama skuad Lubnan dan perkembangan positif ini dapat meningkatkan moral serta semangatnya ke tahap lebih baik,” katanya.

Selain Lubnan, 10 lagi pasukan layak beraksi di pusingan ketiga pada September 2021 hingga Mac 2022 itu ialah Syria, Jepun, Australia, Korea Selatan, Arab Saudi, Iran, UAE, Oman, China, Iraq dan Vietnam.

Berdasarkan rekod Ataya bersama skuad Hijau Kuning musim ini, pemain itu sudah beraksi selama 929 minit permainan melalui 13 penampilan dengan menghasilkan empat bantuan jaringan gol.

Sumber : BH