Berita baik buat Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Selepas mendapat sentuhan pemain kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools, skuad Harimau Malaya menerima perkhabaran gembira apabila bakal diperkuatkan dengan pemain kelahiran Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal pada masa akan datang.

Ia susulan perkongsian ayahnya, Wan Kamal menerusi akaun Twitter miliknya dengan menjelaskan pemain itu yang kini beraksi bersama kelab Rio Grande Valley (RGV) FC di Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Sudah tentu, ia bukan mudah tetapi masa depan tetap cerah bagi Harimau Malaya. Sudah tiba masanya untuk membawa generasi baharu pemain bola sepak muda yang berbakat untuk mewakili negara.

“Saya percaya Kuzain sedia membantu Malaysia di peringkat antarabangsa yang akan datang,” tulisnya di Twitter.

Wan Kuzain pernah dipanggil menyertai skuad kebangsaan bawah 22 (B-22) tahun pada 2019 bagi menghadapi Sukan SEA.

Bagaimanapun ada pelayar media sosial itu yang menganggap Wan Kamal membuat pusingan ‘U’ kerana sebelum ini beliau menjelaskan hala tuju Wan Kuzain adalah untuk terus bermain bersama kelab profesional AS dan negara itu dalam Piala Dunia.

Menjawab persoalan yang diberikan itu, Wan Kamal menegaskan bahawa kenyataan terbaharunya itu bukan soal membuat pusingan U.

“Kena faham setiap permain di dalam dunia ini bercita-cita dan menaruh harapan yang tinggi untuk bermain dalam Piala Dunia apatah lagi tenaga, masa, wang ringgit sudah dibelanjakan.

“Bukan soal pusingan U. Kita membuat rancangan sendiri, tetapi Tuhan yang menentukan. Oleh itu, saya yakin bahawa Tuhan mahukan Kuzain membantu Malaysia untuk layak ke Piala Dunia,” katanya.

Sumber : BH