Cabaran Utama KDA FC Sengit

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak mula mencongak perancangan bagi menghadapi saingan Piala AFC bermula 29 Jun depan.

Mengakui pasukannya mempunyai tempoh masa mencukupi untuk mempersiapkan diri, Aidil bagaimanapun menganggap perkara paling utama adalah memastikan semua pemain bebas dari kecederaan.

“Kita akan kembali berlatih pada Jumaat ini dan banyak perbincangan akan dilakukan nanti untuk kita perbaiki semua kelemahan. Kita akan menggandakan sesi latihan bagi kekalkan tahap kecergasan fizikal pemain.

“Sekarang saya akan merancang beberapa aksi persahabatan yang kita boleh lakukan dan semuanya akan kita pantau juga dengan situasi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ketika ini,” katanya.

Bagi aksi peringkat kumpulan Piala AFC, Kedah berada dalam kumpulan H bersama-sama Lion City Sailors FC, Saigon FC dan Persipura Jayapura.

Menjelang aksi pertama mereka untuk Piala AFC berdepan Persipura Jayapura pada 29 Jun, Aidil tidak menolak cabaran pertama itu akan sengit biarpun skuad kendalian Jacksen F Tiago ini dilihat pasukan bukan pilihan berbanding dua lagi lawan mereka.

“Saya ada memantau beberapa aksi yang ditampilkan oleh Persipura sebelum ini dan saya boleh katakan apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh persediaan ini.

“Cuma saya tidak mahu letak ramalan apa-apa kerana saya nak pergi dari satu aksi ke satu aksi terlebih dahulu,” katanya.

Saingan Liga Malaysia ketika ini sedang berehat sehingga 9 Julai bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan mengharungi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum Kedah dan Terengganu FC berentap untuk saingan Piala AFC bermula 29 Jun sehingga 6 Julai.

Sumber : BH