De Paula Sudah Tidak Sabar Sarung Jersi JDT Saingan ACL

Pemain baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Guilherme de Paula bertekad mahu membalas kepercayaan yang diberikan oleh pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menawarkan kontrak kepadanya.

Jelas penyerang naturalisasi Harimau Malaya itu lagi, dia sudah tidak sabar untuk memulakan aksi bersama JDT dengan kemungkinan bakal meraih penampilan pertama di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) hujung bulan depan.

Katanya, dia sebenarnya sudah lama mengenali Tunku Ismail pada 2014 dan peluang beraksi untuk skuad Harimau Selatan umpama mimpi yang menjadi kenyataan.

“Syukur kepada tuhan, terima kasih kepada Tengku Mahkota Johor (Tunku Ismail), untuk detik terpenting dalam karier saya.

“Selepas tujuh tahun saya bertemu dengan bos (Tunku Ismail) untuk pertama kalinya pada tahun 2014, akhirnya impian saya menjadi kenyataan dan saya sudah menandatangani kontrak dengan JDT.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya kerana selalu berada di sisi sepanjang masa terutama ketika semua orang tiada.

“Terima kasih juga kepada ejen saya, Valdir Souza di mana selalu memberi semangat dan sokongan. Saya tahu bahawa perjalanan karier saya masih jauh lagi yang memerlukan disiplin dan kerja keras.

“Terima kasih banyak atas kepercayaan anda dan saya berjanji akan memberikan yang terbaik,” katanya di laman Instagram miliknya itu.

Untuk rekod, De Paula berhijrah dari Perak FC (PFC) pada jendela perpindahan kedua pemain pada minggu lalu bersama seorang lagi pemain utama The Bos Gaurus, Shahrul Saad.

Kedua-dua pemain itu berpindah kerana tidak berpuas hati dengan isu tunggakan gaji membabitkan pasukan PFC.

Sumber : HM