Dipinjamkan ke Sarawak United

Kota Kinabalu: Sabri Sahar menjadi pemain ketiga Sabah Football Club (FC) yang dipinjamkan ke pasukan lain apabila beliau disahkan menyertai Sarawak United bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia, musim ini.

Pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, beliau yakin pemain berusia 28 tahun itu dapat meningkatkan semula keyakinannya dan kembali ke prestasi terbaik sekali gus menambahkan lagi minit permainan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan musim depan.

Katanya pihak pengurusan kelab bersama-sama barisan kejurulatihan yakin sekiranya peluang beraksi lebih kerap diberikan, Sabri mampu untuk mendapatkan semula sentuhan permainannya.

Sebelum ini dua pemain muda Sabah FC yang juga bekas pemain skuad B19 kebangsaan, Arius Dius Jais dan Evan Wensley telah dipinjamkan kepada Kelantan United FC untuk baiki saingan Liga Perdana 2021.

Ini merupakan kali kedua Sabri bermain untuk pasukan Sarawak selepas pernah menyarung jersi Sarawak selama semusim pada 2015.

Sabri mula bermain untuk pasukan Sabah pada 2010 sebelum dipinjamkan untuk saingan Piala Malaysia kepada Kedah pada 2012 dan kembali semula bersama Sabah untuk musim 2013 – 2014.

Beliau juga sempat bermain untuk Negeri Sembilan pada 2016 dan kembali menyarung jersi skuad badak sejak 2017 sehingga kini.

Mengulas mengenai perpindahan itu, Sabri mengucapkan terima kasih kepada barisan pengurusan dan kejurulatihan Sabah FC atas peluang yang diberikan dan berjanji untuk mempamerkan aksi terbaik sekaligus membantu Sarawak United untuk kembali ke Liga Super musim depan.

Sumber : HM