DNA Jerman? Penalti Pun Tak Masuk!!

PETALING JAYA: ‘DNA Jerman’ kecundang lagi di tangan Terengganu FC (TFC) selepas Selangor (SFC) terpaksa akur dengan kebangkitan lawan yang meraih kemenangan 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad Penyu merampas kedudukan tangga kedua daripada tangan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan hanya ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

The Red Giants bagaimanapun perlu menyalahkan diri sendiri apabila mensia-siakan banyak peluang di babak kedua selain kegagalan Ifedayo Olusegun untuk menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-33.

Peluang pertama TFC hadir pada minit ke-10 menerusi David da Silva namun percubaan lemahnya tepat ke dakapan Khairul Azhan Khalid sebelum percubaan Carli de Murga dua minit berselang ditepis penjaga gawang SFC itu.

SFC bagaimanapun terlebih dahulu menggegar gawang TFC pada minit ke-26 menerusi Hein Htet Aung namun tidak dikira kerana dia sudah berada dalam keadaan ofsaid.

SFC dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-33 selepas Brendan Gan dikasari namun penjaga gol TFC, Mohd Suhaimi Hussin memastikan kedudukan kekal 0-0 apabila berjaya menepis sepakan penalti yang diambil Ifedayo.

Bersambung babak kedua, SFC sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-47 apabila bola terkena tangan pemain TFC dan kali ini, Ifedayo tidak mensia-siakannya untuk gol pendahuluan tuan rumah.

SFC beroleh beberapa peluang untuk menambah jaringan namun gagal disudahkan dan kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya TFC untuk mendapatkan gol penyamaan menerusi Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-73.

Ketika saingan masa sebenar berbaki tiga minit, Carli de Murga meledak gol kemenangan menerusi satu tandukan sekali gus membolehkan TFC melakar kemenangan berganda ke atas SFC pada musim ini.

Sumber : BH