Faktor Dion Cools Sertai Harimau Malaya

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi watak penting untuk meyakinkan pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Cools untuk menyertai pasukan Harimau Malaya.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, badan induk bola sepak negara itu berterima kasih kepada Tunku Ismail yang memainkan peranan penting untuk memastikan Cools dapat memperkuatkan Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Junjung kasih kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kerana baginda telah memainkan peranan cukup penting dalam meyakinkan Dion Cools untuk memilih Malaysia sebagai pasukan negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

FAM secara rasmi telah memperkenalkan Cools sebagai pemain ke-26 dalam skuad Harimau Malaya bagi menghadapi baki perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, UAE dari 3 hingga 15 Jun ini.

Pengumuman rasmi tersebut telah dibuat menerusi media sosial rasmi FAM, awal pagi tadi selepas Dion Cools, 25 tahun, terus dibawa untuk bertemu dengan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin di hotel penginapan pasukan sejurus beliau tiba di Dubai.

Mengulas lanjut, Stuart turut memaklumkan proses penukaran status pasukan negara Cools dari Belgium ke Malaysia sebenarnya sudah berjalan lama selepas pemain itu sendiri menyatakan bahawa beliau berminat dan bersetuju untuk memilih Malaysia sebagai negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior ini.

“Biarpun telah mewakili Belgium bagi skuad B-18, B-19 dan B-21 negara berkenaan, Dion Cools masih layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya dengan perlu untuk mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Status Pemain FIFA dengan syarat beliau tidak pernah beraksi bersama skuad senior kebangsaan Belgium.

“Syarat lain juga telah dipenuhi apabila beliau lahir di Malaysia dan ibunya juga merupakan warganegara Malaysia. Bagi mendapatkan perincian mengenai perlawanan Dion Cools bersama pasukan bola sepak Belgium, FAM telah beberapa kali menghantar surat secara rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Belgium (RBFA).

“Setelah FAM menerima bantuan FIFA, RBFA telah pun membalas permintaan FAM dengan memberikan perincian berkenaan penglibatan Dion Cools dalam skuad B-18 dan B-19 Belgium dari 2014 hingga 2015 dan skuad B-21 Belgium dari 2016 hingga 2019 bersama senarai perlawanan, selain mengesahkan bahawa Dion Cools tidak pernah beraksi dalam mana-mana perlawanan rasmi bersama skuad senior kebangsaan Belgium,” katanya.

Stuart menjelaskan, FAM kemudiannya telah membuat permohonan kepada Jawatankuasa Status Pemain FIFA dengan melampirkan dokumen-dokumen berkaitan pemain bersama surat perincian yang diterima daripada RBFA.

“Setelah membuat penelitian terhadap asas-asas yang diguna pakai dan dokumen-dokumen berkaitan, Jawatankuasa Status Pemain FIFA akhirnya telah membuat keputusan untuk meluluskan permohonan tersebut.

“Selepas mendapat kelulusan FIFA, FAM dengan segera mendaftarkan nama Dion Cools dalam senarai awal pendaftaran pemain bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan selepas ia diluluskan FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), barulah FAM boleh mengumumkan secara rasmi Cools sebagai pemain Harimau Malaya,” katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/141618/BERITA/Sukan/TMJ-watak-penting-pujuk-Dion-Cools © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf