Faktor Tok Gajah Akan Tampil Mantap Pusingan Kedua

Kuantan: Sri Pahang FC bakal memperagakan aksi padu dan bertenaga apabila berdepan Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.

Kejayaan mengikat Selangor FC 2-2 Rabu lalu serta diperkuatkan empat import baharu menambah lagi kemantapan pasukan itu dalam misi mengutip tiga mata.

Pada masa sama, skuad Tok Gajah itu tidak sabar menyenaraikan penyerang import baharu, Aung Kaung Mann yang tidak dapat beraksi kerana gagal mendapat sijil perpindahan antarabangsa (ITC), Rabu lalu.

Justeru, ketua jurulatih pasukan itu, Dollah Salleh akan meletakkan Kaung Mann di bahagian serangan sambil dibantu Manuel Hidalgo dan Abdul Malik Mat Ariff.

“Saya lihat tiga pemain ini menunjukkan persefahaman dan sudah pasti mereka akan digandingkan untuk memastikan Sri Pahang mencatat kemenangan.

“Saya harap prestasi yang dipersembahkan ketika seri berdepan Selangor memberi semangat buat semua pemain untuk mempamerkan prestasi lebih baik,” katanya.

Selepas 12 perlawanan, Sri Pahang kekal berada di kedudukan kedua tercorot Liga Super dengan mengutip sembilan mata.

Namun, kehadiran empat pemain baharu dilihat akan membantu skuad Tok Gajah untuk mengelak daripada berada di zon penyingkiran.

Lebih-lebih lagi, aksi mantap sememangnya ditagih daripada Kaung Mann, Hidalgo, Abubakar Yakubu, Kenny Anthiu, Herold Goulon serta semua pemain Sri Pahang.

Sumber : BH