FAM Jangan Abaikan Sukan Futsal

Semalam daruliman.my telah menganjurkan program bual bicara santai sukan dengan menjemput seorang atlet negara iaitu Azrul Hadee Mohd Taufiq yang juga dikenali sebagai Hadee Taufiq di kalangan peminat sukan futsal tanah air serta Alif Asyraf, iaitu salah seorang penyokong Ultras Malaya (UM).

Bual bicara ini melihat daripada dua perspektif iaitu pertamanya dari sudut seorang atlet atau pemain dan keduanya dari sudut seorang penyokong atau penonton. Kedua-dua panelis membincangkan isu ini secara kritikal ke mana hala tuju sukan futsal ini.

Pemain futsal negara, Hadee Taufiq ketika ditanya mengenai pembabitannya dalam sukan futsal beliau menyatakan sebenarnya terlibat dalam sukan bola sepak itu sendiri sebelum beralih-arah kepada sukan futsal. Malah beliau juga menyeru supaya FAM memperbanyakkan pertandingan sukan futsal itu sendiri kerana atlet kekurangan kejohanan peringkat tempatan mahupun antarabangsa berbanding sukan bola sepak. Malah semenjak pandemik melanda pada tahun lepas sehingga hari ini sukan futsal masih lagi tidak mempunyai apa-apa kejohanan.

Alif Asyraf pula menyatakan bahawa sukan futsal itu sendiri sebenarnya masih baru bertapak di negara ini dan perlu ada ruang penambahbaikan untuk terus bersaing bersama negara ASEAN yang lain di mana pada ketika ini Thailand, Vietnam dan Indonesia itu sendiri mempunyai ranking jauh lebih baik berbanding Malaysia.

Menurut Alif, FAM perlu mewujudkan satu Jawatankuasa Khas Sukan Futsal supaya sukan ini diberi perhatian malah beliau mencadangkan supaya ada penstrukturan semula liga futsal bagi peringkat akar umbi supaya dapat melahirkan lebih ramai pelapis baru dalam sukan ini. Alif juga mengingatkan pencapaian terbaik pasukan futsal itu sendiri pada tahun 1996 apabila Malaysia layak ke Kejohanan Dunia dan beliau menyampaikan pesanan buat pemain skuad futsal negara supaya terus memperbaiki tahap permainan dan jangan mudah leka dengan pencapaian sekarang malah berusaha untuk mengatasi pencapaian terbaik negara yang layak ke Kejohanan Dunia ketika ini.

Hadee dalam ucapannya juga menyatakan impiannya untuk mewakili negara ke Kejohanan Dunia satu hari nanti. Oleh itu, besarlah harapan kami peminat sukan negara supaya FAM melakukan sesuatu bagi menyelamatkan sukan futsal ini “tenggelam“ seperti mana sukan bola sepak. FAM perlu mengambil langkah yang sewajarnya dalam menstruktur dan mempromosikan sukan futsal ini ke satu aras yang lebih tinggi. Kita tidak mahu nasib sukan futsal mengalami hal yang sama seperti sukan bola sepak.