Jawapan Hodak selepas dikaitkan dengan Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Calon pengendali Harimau Malaya, Bojan Hodak mengakui belum bersedia untuk membimbing skuad negara selepas Tan Cheng Hoe mengumumkan pengundurannya Isnin lalu.

Jelas Hodak, beliau lebih selesa untuk kekal bersama juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur City FC (KL City) bagi mengharungi saingan lebih mencabar musim ini, di mana skuad Warga Kota itu bakal beraksi di Piala AFC.

Katanya, beliau kini masih bercuti di negara kelahirannya, Croatia dan akan pulang semula ke Malaysia minggu depan.

“Buat masa ini hanya KL City. Tiada sebarang tawaran dan rasanya tidak (menolak tawaran membimbing Harimau Malaya).

“Saya akan pulang ke Malaysia minggu depan. Fokus saya selepas ini dengan KL City,” katanya kepada Arena Metro.

Dengan pengakuan Hodak itu, ini bermakna hanya tinggal dua lagi individu yang bakal bersaing sengit untuk dilantik sebagai pengendali skuad Harimau Malaya iaitu pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora dan calon paling hangat, Brad Maloney yang kini membimbing skuad bawah 23 (B-23) tahun negara.

Menerusi laporan Arena Metro, terdapat tiga nama jurulatih asing dikaitkan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cheng Hoe susulan kegagalan di Piala AFF di Singapura bulan lalu.

Ketiga-tiga calon terbabit hangat diperkatakan di media sosial ketika ini, dengan masing-masing memiliki keupayaan dan kredibiliti untuk melatih skuad negara yang berdepan misi penting untuk layak ke Piala Asia di China tahun depan.

Malah berdasarkan merit, kesemua individu itu dilihat pilihan cukup ideal dan tepat memandangkan mereka sudah lama menabur bakti di negara ini sama ada dalam saingan Liga Malaysia mahupun bersama skuad kebangsaan, sekali gus cukup mengenali selok belok dan budaya bola sepak di Malaysia.