JDT Mudah Tundukkan Penang FC

Penang FC (PFC) ‘terluka’ dengan ‘cakaran’ Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila mereka terpaksa tunduk di tangan pendahulu Liga Super itu 3-0 pada aksi di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Selatan terus ‘gayat’ di persada liga dengan 30 mata dan merakam kemenangan berganda ke atas skuad Harimau Kumbang pada musim ini.

Bagaimanapun, malang buat Tomas Trucha apabila terpaksa menyaksikan anak buahnya tumbang buat kali kedua berturut-turut selepas tidak tewas dalam sembilan aksi terdahulu.

Penguasaan bola lebih menjadi milik JDT dan selepas 15 minit perlawanan berlangsung, mereka mendahului apabila hantaran jauh Safiq Rahim disambut oleh Safawi Rasid yang kemudiannya menyudahkan hantaran itu untuk gol pertama pelawat.

PFC cuba mengancam gawang JDT menerusi beberapa situasi bola mati namun gagal membuahkan hasil, khususnya pada minit ke-25 yang menyaksikan Farizal Marlias berjaya menafikan percubaan Rafael Vitor untuk menanduk masuk bola di hadapan gawang JDT.

Ketika babak pertama berbaki tiga minit, Bergson da Silva mencetak gol ke-11 pada musim ini apabila bijak melakukan satu ‘turning’ sebelum melepaskan satu rembatan untuk menewaskan Bryan See buat kali kedua.

Dua gol pada babak pertama jelas tidak menyekat ‘nafsu’ JDT daripada terus melebarkan jurang dan lima minit separuh masa kedua bersambung, Mohamadou Sumareh menjaringkan gol ketiga buat pelawat.

Pada minit ke-77, PFC beroleh gol pertama menerusi Casagrande namun jaringan terbabit tidak dikira sebelum malam PFC bertambah buruk apabila Casagrande dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-88 sebelum Trucha juga dikenakan tindakan sama.

Sumber : BH