KDA sambung aksi jumpa TFC

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang kini sedang menjalani proses kuarantin akan menyambung aksi Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 14 Ogos depan.

Menerusi maklumat dari laman rasmi KDA FC, lima penangguhan membabitkan skuad Hijau Kuning bermula dengan perlawanan menentang Penang FC pada 24 Julai dan diikuti perlawanan menentang PJ City FC pada 27 Julai lalu, manakala tiga lagi perlawanan akan melibatkan perlawanan menentang UiTM FC (31 Julai), Sri Pahang FC (4 Ogos) dan Selangor FC (8 Ogos), ditangguhkan.

“Seperti yang semua sedia maklum, pasukan KDA FC kini dikuarantin dan perlawanan yang melibatkan KDA FC adalah ditangguhkan iaitu dari perlawanan LS14 sehingga LS18.

“Jika semuanya berjalan lancar dan dibenarkan untuk beraksi, pasukan Hijau Kuning akan memulakan perlawanan dengan bertandang ke Pantai Timur bagi bertemu Terengganu FC (LS19) pada 14 Ogos 2021.

“Namun, segala perubahan dan pindaan jadual adalah tertakluk kepada keputusan Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kelak”. katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali memaklumkan skuad KDA FC memerlukan tempoh masa yang diperlukan bagi mengembalikan tahap kecergasan selepas menjalani tempoh kuarantin sekarang.

“Kami berharap pemain yang menjalani ujian swab dan didapati bebas dari C0bid-19 selepas ini akan segera dapat meneruskan latihan dalam usaha mengembalikan tahap kecergasan yang disasarkan.

“Selepas proses swab test dilakukan, pasukan perlukan masa latihan untuk mengembalikan tahap kecergasan yang terbaik, bagi mengelak pasukan berada dalam situasi kekurangan sebaik aksi bermula kembali nanti,” katanya.

Penangguhan membabitkan perlawanan KDA FC selepas terdapat dua pemainnya diuji positif Cobid-19 melalui ujian swab yang dilakukan ke atas pemain pada minggu lalu.

Sumber : HM