Lambaian liga Perdana 2022

Berdasarkan persembahan menentang Terengganu FC kelmarin senjata ‘baharu’ Perak FC nyata tiada kualiti.

Pemain import yang diturunkan pada perlawanan itu, Charlie Machell, Ghislain Guessan, Samir Ayass dan Zubairou Garba nyata gagal membuat impak berkesan.

Nana Poku juga tenggelam timbul dalam perlawanan yang ke-14 mereka itu.

Berikutan itu Perak tumbang 0-5 kepada anak buah Nafuzi Zain untuk kali kedua musim ini. Kali pertama mereka dikalahkan 0-2 di Ipoh.

Apa sudah jadi kepada pasukan Bos Gaurus? Irama kebangkitan yang didendangkan kepada peminat setia dalam baki sembilan perlawanan tampak kabur dan jauh, sebaliknya pintu ke Liga Perdana 2022 bagaikan menggamit Perak jika tidak melakukan tindakan drastik dalam perlawanan akan datang.

Siapa yang harus dipersalahkan? Isu demi isu diserlahkan. Kini timbul pula masalah pengambilan pemain tidak berkualiti serta cedera didaftarkan kepada Liga Malaysia (Liga M) semasa jendela perpindahan kedua dibuka.

Adakah ia gejala pemain tidak bagus atau jurulatih yang tidak pandai membuat percaturan atau pengurusan Perak FC? Memang mudah untuk menuding jari mencari kesalahan orang lain.

Justeru semua terbabit iaitu pengurusan kelab, pasukan serta pemain harus muhasabah diri.

Belum terlambat untuk menyelamatkan pasukan Perak dan bola sepak Perak yang sudah berusia 100 tahun ini.

Atau mungkin sambutan 100 tahun bola sepak ini akan mencarat sejarah serta diraikan dengan pasukan Perak terjerumus ke divisyen dua tahun depan.

Sumber : utusan