Jika Mat Don Kembali ..

Liridon Krasniqi mengakui status pemain naturalisasi bukan jaminan dan jalan mudah untuk dia membarisi kesebelasan utama skuad kebangsaan.

Jelas pemain naturalisasi kedua negara itu, persaingan merebut posisi tengah adalah kompetetif dan dia gembira dengan situasi itu, malah melihat beberapa pemain seperti Brendan Gan, Azam Azih, Syamer Kutty Abba dan Nazmi Faiz mempunyai kelebihan yang sama.

“Saya sangat berbangga dapat bermain untuk Malaysia dan semua pemain berada pada tahap yang baik sekali gus persaingan merebut posisi dalam kesebelasan utama juga sengit.

“Perkara paling penting adalah dapat berlatih bersama dan saya tidak fikir posisi saya terjamin atau orang lain kerana pasukan mempunyai barisan pemain yang terbaik. Persaingan merebut tempat adalah kompetetif dan semua orang mampu berada dalam kesebelasan utama.

“Ia satu perkara bagus dan kita bukan hanya mempunyai 11 pemain tetapi 26 pemain di mana semua boleh bermain. Saya gembira dengan persaingan ini,” katanya dalam sidang media selepas hari kedua sesi latihan di Dubai, semalam.

Liridon atau mesra disapa Mat Don antara tiga pemain naturalisasi negara yang akan membantu skuad Harimau Malaya mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain sebelum beraksi di pusingan kedua Kelayakan Piala Asia 2022/Piala Dunia 2023.

Dua lagi pemain naturalisasi yang disenaraikan adalah pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Mohamadou Sumareh dan Gulherme De Paula dengan masing-masing akan mengisi bahagian sayap dan serangan Harimau Malaya.

Mengulas mengenai gambar yang dimuat naik Mat Don bersama bintang bola sepak dunia, Ronaldinho di media sosial, dia mengakui begitu teruja berjumpa dengan individu yang menjadi inspirasi untuknya bergelar pemain bola sepak.

“Ini kali pertama saya bertemu dengannya dan dia merupakan seorang yang sangat baik. Sejujurnya saya berehat di pantai dan ternampaknya, kami berbual beberapa perkara.

“Dia turut mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan negara menjelang aksi kelayakan nanti,” kata bekas pemain Kedah itu yang kini bersama pasukan Newcastle Jets. Jika bekas pemain Kedah ini bakal kembali menunjukkan prestasi sebenar beliau, kekuatan jentera tengah pasukan negara semestinya akan mendapat tonik segar. Mat Don seringkali melakukan hantaran cantik ketika beliau bersama pasukan Kedah sehingga membantu Kedah menjadi salah satu pasukan digeruni lawan.

Skuad Harimau Malaya yang berlepas ke Dubai kelmarin dalam siri perlawanan persahabatan pertama menentang Kuwait.

Selepas menentang Kuwait, skuad kebangsaan berlepas ke Manama untuk berdepan Bahrain pada 28 Mei dalam aksi persahabatan kedua yang juga perlawanan Tier 1, sebelum kembali ke Dubai bagi menghadapi aksi pembukaan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia yang berada di kedudukan kedua akan bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi berdepan Vietnam (11 Jun) sebelum menamatkan kempen kelayakan menentang Thailand pada 15 Jun.

Sumber : Utusan