Mora tak hirau sangat Selangor FC

JOHOR BAHRU: Jika Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu memberi aksi 100 peratus di atas padang, sukar untuk mana-mana lawan mengalahkan mereka, termasuk Selangor.

Itu amaran pengendali Harimau Selatan, Benjamin Mora menjelang pertemuan ‘dua gergasi’ bola sepak tempatan dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Kemenangan akan mengukuh­kan kedudukan JDT selaku pendahulu liga, sekali gus terus berada di landasan untuk memburu kejuaraan kelapan berturut-turut.

“Saya tak hirau sangat tentang Selangor. Sekiranya pemain dapat menjalankan tugas dengan baik dan memberi tumpuan penuh 100 peratus di atas padang, sukar untuk pasukan lawan berpeluang meraih kemenangan.

“Jika pemain hilang fokus, ia akan memberi ruang kepada lawan untuk mendatangkan masalah. Kunci perlawanan terletak di tangan pemain, sejauh mana mereka mampu beraksi baik,” kata Mora.

Mora juga lega beberapa pemain utama seperti Leandro ­Velazquez dan Mauricio Dos Santos akan kembali menyertai kem Harimau Selatan dan cergas untuk diturunkan.

“Velazquez akan kembali untuk aksi melawan Selangor.

“Dia sebelum ini digugurkan daripada kesebelasan utama menentang UiTM FC kerana mengalami kecederaan ringan dan kami tidak mahu mengambil risiko.

“Mauricio juga sudah pulih dan bersedia untuk aksi sete­rusnya,” katanya.

Menurut jurulatih kelahiran Mexico itu, dia turut berharap Safawi Rasid yang menjaringkan satu gol ketika menewaskan UiTM FC 3-1 dalam aksi terakir mampu mempamer taringnya menentang Gergasi Merah.

Sementara itu, Selangor tidak boleh keciciran mata lagi jika mahu mencabar kelompok teratas selepas diikat 1-1 oleh Kuala Lumpur dalam aksi terakhir, Sabtu lalu.

Berita kapten mereka, Brendan Gan disahkan me­ngidap kanser testis akan me­nguatkan semangat pasukan untuk memberi keceriaan buat bintang tengah itu.

Sumber : UTUSAN