Pemain JDT Terus “Bercakaran” Dalam Skuad Kebangsaan

Bukan setakat bersaing di skuad Harimau Selatan namun ‘perebutan’ posisi tampak terus berlanjutan sehingga ke skuad Harimau Malaya.

Itu situasi yang perlu dihadapi empat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas mereka meneruskan ‘perseteruan’ dalam misi mencari slot dalam kesebelasan utama khususnya di bahagian sayap kanan dan sayap kiri skuad kebangsaan.

Empat pemain terbabit – Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Mohamadou Sumareh dan Arif Aiman Hanapi – jelas perlu bersaing bagi merebut dua sahaja tempat di bahagian sayap sekali gus menyaksikan ada yang perlu ‘memanaskan’ bangku simpanan.

Namun, Safawi mengakui situasi itu memberi manfaat yang besar buat pasukan di mana persaingan sihat terbabit pasti membakar semangat mereka untuk memberikan yang terbaik sekali gus memastikan persembahan berada tahap yang maksimum.

“Semua pemain yang dipanggil ada tanggungjawab masing masing. Seperti mana untuk persaingan saya di bahagian sayap kanan dan kiri, saya rasa bagus untuk saya, Sumareh, Akhyar dan Arif Aiman bersaing di posisi itu.

“Semua pemain mahukan tempat dalam kesebelasan utama, jadi kita akan memberikan sehabis baik pada sesi latihan. Walaupun Arif Aiman adalah pemain muda, tetapi tidak mustahil untuk dia menyumbang sesuatu kepada pasukan,” katanya.

Dalam masa sama, pemain berusia 24 tahun itu menegaskan dirinya sudah berada dalam keadaan yang terbaik ketika ini selepas berdepan kecederaan yang menyaksikan dia terlepas panggilan skuad kebangsaan sebelum ini.

“Saya rasa saya sudah sembuh sepenuhnya daripada kecederaan lutut sebelum ini. Sudah tentu saya mahu buktikan yang saya boleh membantu pasukan untuk layak ke pusingan seterusnya,” katanya.

Ketika ini, skuad kebangsaan sedang dalam rangka persiapan untuk mengharungi baki pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand yang dijadual berlangsung bulan depan.

Sumber : BH