Penantian 42 tahun berakhir, ini pengakuan KPG

KETUA jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon menyifatkan dirinya hanyalah seorang jurulatih ‘kecil’ biarpun berjaya membawa Malaysia menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke saingan Piala Asia 2023 pada Selasa.

Pan Gon berkata, kejayaan bersejarah skuad Harimau Malaya bukan disebabkan oleh dirinya semata-mata tetapi juga sokongan oleh semua pihak yang diberikan kepada beliau untuk membangunkan bola sepak negara.

“Saya hanyalah jurulatih kecil, saya datang ke sini meminta semua pihak membantu dan juga mendapat sokongan khas daripada pasukan-pasukan Liga Super. Dengan FAM saya banyak permintaan, saya tahu ia agak sukar buat mereka tapi beliau (presiden) cuba sedaya upaya untuk memenuhinya.

“Seperti kem latihan, kami banyak menambah baik dari segi infrastruktur, kami dapat yang terbaik. Saya tidak melakukan apa-apa, semua yang terlibat melakukan tugasan mereka dengan baik,” kata jurulatih berusia 53 tahun dari Korea Selatan selepas perlawanan yang menyaksikan Malaysia menewaskan Bangladesh 4-1 sekali gus menempah slot ke Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan E dengan enam mata dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima naib juara terbaik dari enam kumpulan yang mendapat tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Gol kemenangan skuad kebangsaan dijaringkan Muhammad Safawi Rasid, Dion Cools, Muhammad Syafiq Ahmad dan pemain gantian Darren Lok manakala jaringan tunggal skuad Bangladesh diperoleh menerusi Mohammad Ibrahim.
Sementara itu, Pan Gon berkata, beliau menjadikan kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-juara AFC buat pertama kali pada April lepas, sebagai inspirasi kepada beliau untuk menyempurnakan tugas membimbing Malaysia ke Piala Asia.

Bekas ketua jurulatih pasukan Hong Kong dan pengarah pasukan kebangsaan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) itu berkata, selain JDT, kelab-kelab tempatan juga memainkan peranan besar dengan melahirkan barisan pemain berkualiti.

Beliau turut mengakui jika Malaysia tidak mempunyai asas bola sepak yang kukuh, sudah pasti sukar untuknya melaksanakan dua misi ditetapkan untuknya, iaitu layak ke Piala Asia dan memenangi Piala AFF akan datang.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 di Kuwait dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007, namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah. – Bernama