Pengadil Itu Tidak Sepatutnya Berada Dalam Liga Super

Ketua jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt meluahkan kekecewaan dengan jaringan penyamaan yang dihasilkan Shukor Adan buat Kuala Lumpur City (KL City) FC ketika kedua-dua pasukan itu terikat 1-1, malam tadi.

Ia susulan Shukor didakwa menggunakan tangan untuk menyudahkan umpanan Paulo Josue pada masa keced3raan, sekali gus meranapkan impian UiTM merasai kemenangan pertama musim ini.

Malah, pengendali dari Jerman berusia 51 tahun itu turut menyifatkan bahawa pengadil perlawanan Mohd Shahrizan Mohamad Solihim tidak patut berada dalam Liga Super.

“Keputusan yang tidak bertuah, sangat-sangat tidak adil apa yang berlaku di sini kerana jaringan dilakukan dengan tangan. Pemain melompat dan menggunakan tangan untuk menyudahkan jaringan itu.

“Kita mempunyai video dan gambar juga, ia jelas bola terkena tangan dan tiada apa yang berlaku dan pengadil, bagi saya tidak boleh berada dalam Liga Super.

“Sangat mengecewakan kerana kami dalam situasi di penghujung perlawanan dan selepas itu gunakan tangan untuk menjaringkan gol dan tiada apa yang berlaku. Keputusan adalah keputusan, kita tidak boleh mengubahnya,” katanya selepas perlawanan.

Jaringan kontroversi yang dilakukan Shukor itu mendapatkan perhatian daripada peminat bola sepak tanah air dan ada yang menggelarnya di media sosial sebagai ‘Diego Maradona Malaysia’.

Sementara itu, ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak enggan mengulas lanjut mengenai jaringan yang dihasilkan Shukor.

“Saya tidak boleh komen. Anda perlu periksa video dan periksa sepakan penalti (UiTM) juga. Saya tidak gembira (seri) kerana saya mahu menang, tapi saya gembira kerana kami ketinggalan dan kami bangkit. Setiap mata sangat penting,” katanya.

Sumber : BH