Punca De Paula “Pemalas”

Ketika kecaman teruk dilemparkan peminat bola sepak tempat terhadap persembahan pemain naturalisasi Guilherme De Paula, lain pula pandangan yang diberikan legenda bola sepak negara, Khalid Ali.

Nama De Paula ‘trending’ di media sosial susulan kekalahan 0-4 skuad Harimau Malaya di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.

Berdasarkan komen yang dibuat netizen, kebanyakannya menganggap De Paula tidak beraksi dengan semangat yang tinggi dan ada yang melabelnya sebagai ‘pemalas’ kerana kurang bergerak di atas padang.

Namun, Khalid yang terkenal dengan komen pedas enggan menyifatkan De Paula sebagai pemalas, sebaliknya menjelaskan pemain berusia 34 tahun itu tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada rakan sepasukan.

“Pemain naturalisasi tidak memberi satu impak yang baik, tapi sebenarnya dia (De Paula) tiada sokongan sebab dia seorang di atas dan Liridon seorang sahaja sebagai tengah menyerang.

“Safawi Rasid pula tak dapat bermain dengan baik. De Paula cara dia main memang begitu sebab dia penerima bola. Jadi apabila dia terima bola, dia nak kena ada sokongan atau bantuan, tapi tiada,” katanya kepada BH Sukan.

Persembahan kurang menjadi De Paula turut menyebabkan netizen menuntut kerakyatan pemain kelahiran Brazil itu dilucutkan dan ada yang meminta jurulatih Tan Cheng Hoe menukarnya dengan pemain yang lebih baik.

Mengulas mengenai persembahan keseluruhan skuad kebangsaan, Khalid berkata corak permainan bertahan yang dipamerkan Harimau Malaya menyebabkan UAE lebih selesa menguasai permainan.

“Kita tiada kepuasan dengan cara Malaysia main, nampak banyak bertahan. Sepatutnya tahap antarabangsa ini kita kena ada pemikiran dan sikap yang positif.

“Kita memberi peluang kepada UAE menunjukkan permainan yang baik sebab kita tak banyak menyerang dan mengasak. Jadi mereka lebih banyak mengawal bola dan menunjukkan pasukan mereka lebih berkualiti dari kita.

“Kita hanya bergantung kepada serangan balas, tapi pemain kita tidak begitu cergas, mungkin disebabkan cuaca panas dan pemain keletihan. Harap lawan Vietnam nanti kita boleh beraksi dengan lebih baik dan banyak menyerang,” katanya.

Sumber : BH