RM5 Juta?

PENJAGA gol utama Perak FC, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy mengemukakan tuntutan saman RM5 juta ke atas seorang penyokong kerana mengaitkan dirinya dengan insiden kibaran bendera Perak separuh tiang sepertimana tular di media sosial.

Sambil menafikan penglibatan pemain lain, beliau berkata, tuduhan yang dibuat itu adalah berat lebih-lebih lagi senario terbabit sering kali membawa maksud kemangkatan dan berkabung.

“Kebetulan saya menerima WhatsApp daripada rakan memaklumkan ada individu ini petik nama saya bahawa sayalah punca dan ketua yang membuatkan bendera itu turun separuh.

“Isu bendera separuh tiang ini kita tahu apa maknanya, jadi bila libatkan saya dan pemain-pemain, saya tak boleh duduk diam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mesyuarat bersama pengurusan Perak FC di Stadium Perak di sini pada Sabtu.

Menurutnya, isu berkenaan kini tular dan menimbulkan kemarahan penyokong lain yang mengaitkannya dengan isu boikot pemain pada sesi latihan di Stadium Perak di sini pada malam Jumaat.

“Kami masuk stadium jam 9.30 malam dan keluar jam 11 malam, ketika itu keadaan bendera sudah berada dalam keadaan separuh tiang.

“Jadi kami tak tahu siapa yang lakukan dan pemain semua tidak terlibat langsung dalam perkara itu,” katanya.

Beliau berkata, dua laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu di Balai Polis Sungai Senam dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Katanya, laporan itu antara lain menafikan penglibatan pemain Perak FC dalam insiden turun bendera dan saman fitnah beliau terhadap seorang penyokong.

“Saya dah rujuk perkara ini dengan Pegawai Keselamatan Pasukan dan akan teruskan dengan saman fitnah terhadap individu itu sebanyak RM5 juta. Proses ini akan diuruskan oleh peguam.

“Secara terus terang saya tidak mengenali individu itu, tetapi dia salah seorang penyokong dan saya tahu dia antara orang yang paling aktif maki saya dalam media sosial.

“Saya boleh terima orang tak suka dengan saya, tetapi jangan sampai buat tuduhan melulu sebegitu, ia tuduhan yang terlalu berat buat saya,” katanya.

Mengulas mengenai boikot sesi latihan, Hafizul Hakim berkata, isu berkenaan telahpun selesai dan pemain-pemain berpuas hati dengan maklum balas positif daripada pengurusan.

“Sebenarnya ia bukanlah boikot, cuma satu signal daripada pemain. Saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan kami dapat fokus kepada perlawanan,” katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/137685/BERITA/Sukan/Hafizul-Hakim-saman-penyokong-RM5-juta © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf