RMS bersuara

KUALA LUMPUR: Pengerusi Selangor FC, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menekankan dan memberi jaminan bahawa tidak pernah ada parasit di dalam pengurusan kelab itu.

Sebelum ini, ada pihak tertentu yang mendakwa terdapat parasit dalam pengurusan Selangor dengan mengaitkan nama bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Izhar Moslim.

Raja Muda Selangor (RMS) dalam kenyataan hari ini, mengesahkan sudah memberi perkenan surat peletakan jawatan Izhar yang bertarikh 7 Julai lalu dan tidak lagi terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan pengurusan Gergasi Merah.

“Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk turut mengucapkan jutaan terima kasih buat Izhar Moslim di atas segala sumbangan dan pengorbanan beliau sepanjang berada di kelab ini.

“Untuk makluman semua, Izhar Moslim menyandang jawatan Naib Presiden FAS dari tahun 2018 hingga 2019 dan Beta melantiknya sebagai Ahli Lembaga Pengarah semasa Selangor FC diswastakan dan ditubuhkan pada tahun 2020,” katanya.

Selangor berdepan kritikan hebat selepas dilihat tidak berjaya mempamerkan persembahan yang diharapkan dan juara Piala Malaysia 33 kali itu menghuni tangga kesembilan Liga Super dengan mengumpul 16 mata selepas 15 perlawanan.

Selain itu, RMS menjelaskan beliau sentiasa mengambil maklum situasi semasa Selangor dan amat kesal dengan beberapa insiden termasuk ramai yang membuat tanggapan serta dakwaan tidak tepat berkenaan pembabitannya dalam pengurusan kelab itu.

Beliau berkata, tidak semestinya setiap gerak kerjanya di kelab berkenaan perlu dipertontonkan dan dipamerkan di laman sosial.

“Untuk pengetahuan semua, setiap keputusan teknikal dan pengurusan kelab yang penting adalah berteraskan hala tuju yang Beta tetapkan dan berasaskan perkenan dari Beta sendiri.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan pemerhatian Beta dan juga melalui siri perbincangan terperinci bersama Pengarah Sukan, Ahli Lembaga Pengarah dan jawatankuasa yang berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, RMS memberi jaminan bahawa beliau dan pihak pengurusan sudah mengenal pasti kekurangan pasukan yang perlu diperbaiki secara terperinci.

Justeru, beliau berkata, kelab sudah mula menangani isu terbabit dan memulakan gerak kerja untuk musim hadapan yang akan disusuli dengan beberapa pelantikan teknikal yang baharu termasuk Pengarah Sukan, Pengarah Teknikal, bahagian kejurulatihan, serta langkah-langkah lain yang perlu diambil untuk memperkuatkan pasukan utama Selangor.

“Beta mengakui bahawa kita masih belum mencapai kejayaan di atas padang, namun Beta tidak akan berputus asa dan tetap komited untuk membawa kelab ini ke peringkat yang tertinggi.

“Pelbagai pembaharuan dan pencapaian dalam aspek pentadbiran, pengurusan kewangan, pembangunan bola sepak, fasiliti dan pengkomersialan sudah Beta jayakan.

“Oleh itu, Beta ingin menyeru semua penyokong Selangor untuk terus bersatu dan tidak mudah berpaling daripada kebersamaan kerana pengaruh unsur-unsur luar yang tidak tepat dan ingin memecahbelahkan kita,” katanya.