Safawi Wira Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, skuad Harimau Malaya akhirnya berjaya menebus maruah negara apabila menundukkan Thailand 1-0, sebentar tadi.

Kemenangan itu juga menyaksikan anak buah Tan Cheng Hoe menempah slot di pusingan ketiga Piala Asia selepas menamatkan saingan Kumpulan G di kedudukan ketiga dengan 12 mata manakala Thailand yang kekal dengan sembilan mata jatuh ke tangga keempat.

Cheng Hoe dilihat melakukan tindakan berani dengan melakukan beberapa perubahan berbanding perlawanan menentang tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam sebelum ini terutama dengan meletakkan Akhyar Rashid dan pemain muda, Arif Aiman Hanapi di bahagian sayap kiri dan kanan.

Malah, aksi meyakinkan daripada Syahmi Safari di posisi pertahanan kiri juga menyaksikan ketiadaan La’vere Corbin-Ong yang berdepan penggantungan satu perlawanan tidak begitu dirasai.

Harimau Malaya mendapat beberapa peluang untuk meledak gol terutama menerusi Akhyar Rashid dan Guilherme De Paula, namun gagal disudahkan dengan jaringan.

Thailand mendapat gol pada mint ke-35, namun jaringan itu dibatalkan selepas Suphanat Mueanta dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Tindakan Cheng Hoe memasukkan Safawi Rasid sebaik bersambung babak kedua membuahkan hasil apabila dia meledak gol pembukaan menerusi sepakan penalti pada minit ke-52.

Thailand hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-87, namun percubaan jarak dekat Suphanat melepasi palang gol dan kedudukan 1-0 memihak Harimau Malaya kekal hingga wisel penamat.

Sumber : BH