Selamat Tinggal JDT

Johor Bahru : Selepas tujuh musim menabur bakti bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) jodoh Hariss Harun bersama kelab berkenaan akhirnya terlerai.

Menerusi kenyataan laman rasmi Johor Southern Tigers hari ini, kapten skuad Harimau Selatan dan pengurusan kelab bersetuju untuk menamatkan kontrak selepas pemain itu menyatakan hasrat untuk bersama keluarga disebabkan pandemik Covid-19 yang menyukarkan dia berulang-alik ke Singapura lebih kerap.

“Kelab JDT ingin mengucapkan terima kasih kepada kapten Hariss Harun atas kesetiaan tidak berbelah bahagi, aksi persembahan penuh semangat dan atas segala jasa diberikan kepada kelab sejak penampilan pertama pada Januari 2014.

“Hariss menyertai JDT selepas menjulang gelaran Liga Super ketika mewakili LionsXII dan kemudian memenangi tujuh lagi kejuaraan liga berturut-turut termasuk Piala AFC pada musim 2015 yang dianggap bersejarah buat JDT selain mengecapi kejayaan menjulang sembilan lagi piala domestik di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Sepanjang menyertai JDT, dia melakukan 197 penampilan, bermain 15,367 minit, menjaringkan 12 gol, melakukan lima bantuan jaringan dan sering kali mempertahankan pertahanan dari bahagian tengah buat skuad Harimau Selatan

“Hariss selayaknya digelar legenda pasukan JDT. Kami sentiasa membuka pintu di JDT untuknya jika ingin kembali bersama kami pada masa akan datang,” kata kenyataan itu.

Sumber : HM