Senarai Pemain Digugurkan

Pemain import Sri Pahang FC, Lee Tuck dirisik tiga pasukan selepas diketepikan sebaik jendela perpindahan pemain dibuka 3 Mei lalu.

Ketua jurulatih pasukan, Dollah Salleh yang mengesahkan perkara itu berkata, perancangan untuk meminjamkan pemain kelahiran England itu memang ada.

“Setakat ini, tiga pasukan yang berminat mendapatkan Tuck. Bagaimanapun, keputusan muktamad bergantung kepada Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah selaku pemilik Sri Pahang FC,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Sebaik jendela perpindahan pemain dibuka, skuad Tok Gajah membuat keputusan menyenaraikan empat pemain import baharu dalam usaha memperkasakan skuad itu.

Empat import itu ialah Aung Kaung Mann dari Myanmar, Manuel Hidalgo (Argentina), Abubakar Yakubu (Ghana) dan Kenny Athiu (Australia).

Berikutan itu, empat pemain digugurkan iaitu Tuck, Yevhen Bokhashvili (Ukraine), Mamadou Wague (Lubnan) dan Pedro Henrique (Timor Leste).

Pertahanan import dari Perancis, Herold Goulon pula dikekalkan.

Dengan kemasukan empat pemain import baharu itu, Sri Pahang mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila melonjak di kedudukan kesembilan Liga Super berbanding berada di dua tangga tercorot sebelum itu.

Sumber : BH