Status import KDA FC terjawab

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini hampir mempunyai barisan pemain yang lengkap bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC musim 2022.

Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali yang melihat skuad Hijau Kuning melakukan persiapan lebih awal berbanding musim 2021.

“Cuma ada satu dua tempat lagi bakal diisi oleh pemain untuk melengkapkan skuad Hijau Kuning pasa musim depan.

“Secara keseluruhan skuad Kedah kini dah hampir lengkap dengan jumlah pemain tempatan sudah hampir penuh. Manakala bagi import pula, kita sudah mengumumkan dua pemain sebelum ini dan kini sudah mengenalpasti dua lagi import.

“Cuma hanya seorang lagi masih dalam rundingan dan dalam masa terdekat ini kita akan muktamadkan.

“Jika dilihat pada tempoh akhir pendaftaran hingga Februari, kita masih ada masa, namun kita tetap berusaha mempersiapkan pasukan dengan lebih cepat kerana akan mula berlatih pada 4 Januari ini walaupun mungkin ada sebahagian pemain yang belum lagi sampai,” katanya.

Khamal juga menolak andaian sesetengah pihak yang melihat skuad Kedah akan membina pasukan serba baharu berbanding musim 2021 selepas beberapa nama besar yang membantu kejayaan Kedah selama ini tidak lagi bersama skuad Hijau Kuning.

“Sebenarnya kita bukan membina pasukan baharu kerana jika dikatakan pasukan baharu, bermakna kita menukar sekali ketua jurulatih, namun untuk musim depan kita masih lagi mengekalkan jurulatih yang sama iaitu Aidil Sharin.

“Pemain baharu yang masuk dilihat sesuai dengan strategi diatur untuk menghadapi musim depan, manakala pemain sedia ada bersama pasukan pula sudah memahami corak dan perancangan terapkan jurulatih selama ini,” katanya.

Sumber – HM