Tarik Perhatian Jutaan Penyokong

Kuala Lumpur: Gelaran Zulhelmi yang diberikan peminat bola sepak tanahair kepada peny3rang naturalisasi Harimau Malaya, Guilherme de Paula seakan diterimanya dengan rela hati.

Malah, De Paula sendiri mengakui namanya adalah Guilherme de Paula Zulhelmi ketika ditanya oleh petugas kesihatan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang melakukan ujian PCR sebelum aksi berdepan Vietnam awal pagi Sabtu ini.

Menerusi perkongsian video di Story Instagram Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) malam tadi, pemain naturalisasi ketiga negara itu menjawab pertanyaan jururawat yang menanyakan namanya.

“Nama saya Guilherme de Paula Zulhelmi,” katanya kepada petugas itu yang kemudiannya meminta De Paula berbaring bagi memulakan ujian PCR.

Ternyata perkongsian video itu berjaya menarik perhatian jutaan penyokong bola sepak tempatan khususnya di laman sosial yang terhibur dengan gurauan tonggak kelahiran Brazil itu.

Sebelum ini, De Paula dikecam hebat peminat ekoran aksi longlainya di atas padang ketika skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu tumbang 0-4 kepada UAE dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 minggu lalu.

Ekoran kritikan demi kritikan, peminat mendakwa pemberian taraf naturalisasi kepada De Paula adalah satu kerugian dan prestasinya tidak jauh beza dengan pemain tempatan.

Malah, ada seorang peminat yang menghantar pesanan suara di peti simpanan Instagram De Paula dengan menyamakan aksinya seperti Zulhelmi, kawannya ketika bermain bola sepak di kampung.

Pesanan suara itu kemudiannya viral di laman sosial dan nama Zulhelmi itu terus digunakan warganet untuk memberi gelaran baru kepada De Paula.

Sumber : HM