Teka-Teki Syafiq Ahmad akhirnya terjawab

Teki teki hala tuju Syafiq Ahmad akhirnya terjawab. KDA FC dengan ini mengumumkan pemain tempatan baharu untuk musim 2022, Muhammad Syafiq Ahmad!

Pemain berusia 26 tahun yang berasal dari Sungai Ara, Pulau Pinang ini merupakan watak yang cukup dikenali oleh peminat bolasepak di Kedah dan Malaysia.

Mula mencipta nama diperingkat remaja bersama SMK Tunku Anum, beliau mula mencuri perhatian selepas diserap masuk ke skuad Piala Presiden Kedah selepas tamat pengajian pada musim 2013 dan antara pemain muda berusia 18 tahun yang mula mencipta nama bersama skuad utama Kedah.

Bersama pasukan Kedah ketika itu, Syafiq turut mewakili pasukan kebangsaan dan seterusnya mendapat tawaran untuk bersama skuad JDT FC. Pengalaman beliau yang beraksi bersama pasukan selatan tanah air itu cukup besar selepas menjuarai piala beberapa kejohanan tempatan dan turut beraksi di saingan AFC Champions League.

Selepas 4 tahun bersama JDT FC, musim 2022 Syafiq dipinjamkan kepada KDA FC dan kepulangan beliau bukan hanya memberi suntikan positif dibahagian serangan malah turut mendapat sambutan hebat oleh semua penyokong hijaukuning.

Usaha membawa pulang Syafiq Ahmad ke pangkuan KDA FC adalah mustahil tanpa perkenan pemilik JDT FC, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang membenarkan Syafiq dipinjamkan selama setahun kepada pasukan KDA FC.

Kontrak pinjaman ini sudah pasti memberi suntikan motivasi buat Syafiq untuk lebih cemerlang di musim 2022. KDA FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat Tunku Mahkota Johor bagi merealisasikan hasrat pengurusan pasukan dan barisan kejurulatihan untuk mendapatkan khidmat Syafiq Ahmad.

Muhammad Syafiq Ahmad, berjuanglah sejiwa murni, tekun berani sesungguh hati!