TMJ Bersuara

Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan diri untuk mengendalikan skuad kebangsaan, sekali gus membantu meningkatkan persembahan Harimau Malaya.

Perkara itu diluahkan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menerusi kenyataan ringkas pada ruangan Insta Story di laman Instagram miliknya, hari ini.

“Kepada Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin), izinkan saya untuk memikul tugas dalam skuad kebangsaan. Saya akan sediakan mereka kemudahan latihan dan jurulatih terbaik.

“Saya tidak boleh menjanjikan kejayaan segera kepada anda, tetapi saya dapat memberi jaminan mengenai peningkatan (prestasi pasukan),” katanya.

Menerusi ruangan sama, TMJ turut mencadangkan badan induk berkenaan tidak memberi status naturalisasi kepada mana-mana pemain asing dengan sewenang-wenangnya pada masa akan datang.

Beliau yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berkata, pengambilan pemain naturalisasi perlu dikawal dan dibuat analisa secara terperinci oleh pasukan teknikal skuad kebangsaan.

“Hari ini pergi untuk tugasan pasukan kebangsaan bukan lagi satu misi atau tugas bagi sesetengah orang. Ia seperti percutian musim panas.

“Sistem mesti diubah. Lepas ini naturalisasi jangan bagi sebarang sebarang. Ia mesti dikawal dan dianalisa oleh pasukan teknikal skuad kebangsaan. Adakah pemain itu sesuai dengan gaya permainan kita.

“Sasaran realistik. Selangkah demi selangkah. Setiap langkah positif adalah bonus. Jika keputusan tidak baik, kita bekerja keras,” katanya.

Isu pemberian status naturalisasi kepada pemain asing untuk memperkuatkan Harimau Malaya kini hangat diperkatakan susulan prestasi kurang menyerlah Guilherme De Paula, Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Sumber : BH