Yakin Sabah FC Terus Lakar Kemenangan Berganda

KOTA KINABALU: Sabah FC mampu terus melakar kemenangan termasuk menentang Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Super di sini, malam ini jika terus konsisten dengan corak permainan seperti ketika menewaskan Perak FC dan Melaka United FC sebelum ini.

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan keyakinan itu selepas melihat sendiri aksi skuad Badak sebelum ini yang kelihatan lebih mantap dan bersemangat tinggi.

Katanya, tidak mustahil Sabah mampu menewaskan Kedah pada perlawanan ketiga di Stadium Lika meskipun pasukan dari utara itu berada di tangga ketiga berbanding mereka yang menduduki tangga ketujuh.

“Corak permainan pemain ketika ini khususnya dalam dua perlawanan di halaman sendiri sebelum ini meyakinkan kita untuk memenangi perlawanan lain selepas ini,” katanya mengulas kejayaan Sabah FC apabila menewaskan Melaka United FC 3-1 pada Rabu lalu.

Ahad lalu, Sabah FC turut mengutip tiga mata selepas menewaskan pasukan Perak FC 2-1.

“Jika mereka konsisten dengan corak permainan sedemikian, kita yakin Sabah FC juga boleh mencatat kemenangan dalam pertemuan dengan Kedah,” katanya.

Sumber : BH